Tuesday, May 3, 2016

Panduan Pengambilan Ubat-Ubatan Semasa Penyusuan




Ada ketika, ibu yang menyusukan bayi perlu mengambil ubat tertentu bagi merawat masalah kesihatan mereka. Dalam masa yang sama,
penggunaan ubat tersebut perlu dipastikan tidak membawa kemudaratan kepada bayi yang disusukan.

Pemantauan perlu dilakukan terhadap bayi yang menyusu sekiranya si ibu mengambil sesetengah jenis ubat-ubatan. Hal demikian bagi memastikan kesan sampingan atau kesan tidak diingini dapat dielak daripada berlaku.

Ubat yang diambil akan diserap masuk ke dalam sistem peredaran darah. Kemudian ia akan melekat kepada protein (albumin) atau bebas terlarut dalam plasma darah. Kadar resapan ubat ke dalam susu ibu bergantung sama ada ubat yang diambil oleh ibu tersebut memiliki kadar pelekatan terhadap protein plasma yang tinggi atau rendah. 

Ubat-ubatan yang melekat kepada protein plasma dalam peratusan yang tinggi adalah kurang atau susah untuk memasuki ke dalam susu ibu. Sesuatu ubat akan dianggap melekat kepada protein dalam peratusan yang tinggi, sekiranya peratusan ubat yang melekat kepada protein plasma melebihi 90%.

Penyusuan perlu DIHENTIKAN buat sementara waktu bagi ibu yang mengambil ubat untuk rawatan:


  • kanser atau kemoterapi (Antimetabolites)
  • bahan radioaktif dalam ubat radiofarmaseutikal. 
Penyusuan boleh disambung semula selepas satu tempoh masa yang selamat apabila ubat tersebut tidak lagi diambil.
Terdapat beberapa jenis ubat-ubatan jika diambil aktiviti penyusuan boleh DITERUSKAN namun sedikit pemantauan perlu dilakukan


  • sesetengah jenis ubat psikiatrik 
  • ubat anti-epilepsi. 
Kesan sampingan ini mungkin akan menyebabkan bayi tersebut letih atau mengantuk. 

Selain daripada itu penyusuan juga boleh diteruskan oleh ibu jika mengambil ubat seperti Chloramphenicol, Tetracyclines, Metronidazole atau antibiotik daripada kumpulan Quinolone seperti Ciprofloxacin. Walau bagaimanapun digalakkan menggunakan ubat alternatif jika ada.

Bagi ibu yang menyusukan bayi dan perlu menggunakan ubat seperti 


  • Sulfonamides
  • Dapsone
  • Sulfamethoxazole+Trimethoprim
  • Sulfadoxine+Pyrimethamine (Fansidar) 
Pemantauan terhadap bayi perlu dilakukan kerana kemungkinan ubat tersebut boleh menyebabkan demam kuning atau jaundice kepada bayi.

Seterusnya ada juga ubat yang diambil boleh merencat atau mengurangkan penghasilan susu ibu seperti:


  • hormon Estrogens (termasuk pil perancang yang mengandungi estrogen)
  • ubat diuretik Thiazide
  • Ergometrine. 
Justeru penggunaan ubat alternatif adalah digalakkan dalam kalangan ibu yang menyusukan bayi. 

Terdapat ubat yang selamat digunakan semasa penyusuan bayi jika digunakan pada dos normal contohnya ubat tahan sakit dan ubat demam seperti Paracetamol, asid Acetylsalicylic, dan Ibuprofen. Walau bagaimanapun penggunaan ubat ini dinasihatkan hanya untuk jangka masa yang singkat sahaja.

Penyusuan bayi juga boleh diteruskan bagi penggunaan pada dos normal ubat antibiotik seperti Ampicillin, Amoxicillin, Cloxacillin dan Penicillins jenis lain, Erythromycin, ubat untuk rawatan batuk kering, ubat kusta, ubat anti malaria (kecuali Mefloquine, Fansidar), ubat cacing dan ubat untuk rawatan jangkitan kulat. 

Begitu juga untuk penggunaan ubat asma, Corticosteroids, ubat antihistamin, ubat anti-asid, ubat diabetes, kebanyakan ubat darah tinggi, Digoxin, nutrien dan makanan tambahan seperti iodin, zat besi dan vitamin boleh digunakan pada dos normal oleh ibu yang menyusukan bayi.

Maklumat yang dinyatakan dalam artikel ini tidak muktamad dan tidak terhad terhadap apa yang dipaparkan sahaja. Ianya hanya sebagai rujukan ringkas kepada golongan ibu yang menyusukan bayi dan dalam masa yang sama mengambil ubat tertentu. Para pembaca digalakkan supaya merujuk kepada ahli farmasi atau doktor jika terdapat kemusykilan berkaitan ubat-ubatan yang diambil semasa menyusukan bayi.

Sekiranya orang awam mempunyai sebarang pertanyaan am berkenaan ubat-ubatan, anda boleh bertanya kepada mana-mana ahli farmasi atau menguhubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722. Kami sedia membantu.

Disediakan oleh 
Khairul Naim Bin Zainal Abidin
Klinik Kesihatan Lembah Klau, Raub Pahang


Taken from KKM Website, 21st April 2016